Saturday, March 31, 2012

Sahabat Platonik

Antara topik dalam NONA hari ini, 1 April 2012 berkisar tentang "Sahabat Platonik". Secara ringkasnya, sahabat platonik menurut sumber Kamus Dewan Edisi Empat, Platonik membawa maksud semata-mata bersifat spiritual, bukan didorong oleh atau bermotifkan keinginan nafsu syahwat (bukan hubungan persahabatan atau kasih sayang).


Jadi, sahabat platonik bolehlah dirumuskan sebagai hubungan persahabatan antara lelaki dan perempuan tanpa wujud sebarang perasaan yang membawa kepada keinginan nafsu syahwat. (Senang kira, kawan baik tanpa ada perasaan cintalah).




Saya pernah dengar cakap-cakap kalau kita berkawan dengan seorang lelaki mungkin persahabatan itu akan lebih manis kerana lelaki tidak mempunyai perasaan cemburu dengan kawan perempuannya. Orang kata perempuan ini kadang-kadang dengki bila seseorang itu lebih daripada dia. Entahlah, saya pun tidak tahu sejauh mana kebenarannya. Tetapi setakat ini, saya senang berkawan dengan perempuan mahupun lelaki.


Ummi saya, yang turut sama menonton rancangan tersebut, terus berkata, persahabatan begini tidak berapa bagus dalam Islam.. Yalah, kita mana boleh bergaul bebas dengan kaum berlainan jantina. Ummi saya, turut berkata, nanti kalau si perempuan sudah bersuami, apa perasaan si suami atau sebaliknya?


Masing-masing mempunyai pendapat tentang persahabatan berlawanan jantina. Kita diberi hak untuk memilih setelah menimbang baik dan buruknya.

Apa pula komen anda tentang persahabatan jenis ini?



Sunday, March 18, 2012

Marilah kita menunaikan solat..

Ruangan Telatah, karya Yon Berita Minggu, 18 Mac 2012

Saya terkejut membaca berita seperti yang ditulis di  Sumber . Masakan tidak, solat itu tiang agama. Itulah amalan yang amat diBERATkan dalam Islam.

Realiti hari ini, mereka yang sihat juga culas untuk menunaikan solat. Inikan pula ketika ditimpa sakit dan keuzuran. Bukan semua, tetapi sebagai umat Islam, kita perlu membuka mata akan hal ini. 

Baik tua, muda, sihat, sakit, bahagia atau duka, ingatlah, SOLAT itu antara 5 perkara dalam RUKUN ISLAM. Sedarlah muslimin dan muslimat sekalian, ingatan untuk diri ini juga, tunaikanlah solat. Tidak boleh dilakukan secara berdiri, lakukan secara duduk, tidak mampu, dalam keadaan baring pun boleh, menggunakan gerak mata jika keadaan amat menyulitkan juga diterima. 

Marilah kita menunaikan solat.

~Bersembahyanglah kamu sebelum kamu disembahyangkan~



Monday, March 12, 2012

Menangislah wahai si kecil..

Saya jenis yang apabila masuk tidur, akan meletakkan hp dalam keadaan "off". Pagi ini, selepas hp dihidupkan, satu mesej masuk ke dalam inbox. Mesej daripada Kak Aina, rakan sekerja saya. Saya terus meneka kandungan mesej tersebut. "Pasti Kak Aina telah bersalin", itu yang menjadi tekaan saya. Sah! benar jangkaan saya. Kak Aina telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki walaupun dia mengharapkan kelahiran seorang puteri untuk kelahiran yang kedua ini.


Tetapi, di hujung mesej tersebut, telah menimbulkan perasaan sayu dan sedih di sanubari saya. "but my bby in ICU cz t'lampau lama i push n bby lemas x nangis time kuar...doakan bby i slmt smuanya ya.."

Mesej ini membuatkan saya terdiam seketika. Tidak tahu apa yang perlu ditaip kepada Kak Aina. Dalam hati saya tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan bayi tersebut. Mata saya mengalirkan air mata tanpa dipaksa. Teringat saat Kak Aina mula menyampaikan khabar gembira menyatakan dia mengandung. Umur bayi yang dikandung "sebaya" dengan saya. "Sebaya" kerana saat saya memulakan latihan dalam kamar, serentak itu juga Kak Aina hamil.

Selama tempoh 9 bulan, saya melihat kandungan Kak Aina membesar di depan mata. Masakan tidak, Isnin hingga Jumaat, dari 8.30 pagi hingga ke jam 5.30 petang, kami berada di satu tempat yang sama. Selalu sahaja saya mengusap perut Kak Aina. Kadang-kadang, saya curi-curi pegang perut Kak Aina. Geram akan perutnya yang kelihatan sungguh comel.

Walaupun saya baru 9 bulan mengenali Kak Aina, saya rasa dekat dengan dia. Mungkin kerana kami sering makan bersama ketika waktu rehat tengah hari. Kasihan Kak Aina kerana  masih tidak dapat lagi menatap wajah putera keduanya. Ada iras Darwisy (anak sulung) bila ditanya Kak Aina kepada suaminya.

Saya doakan bayi Kak Aina dan Kak Aina sihat.

Wahai si bayi kecil, kamu kena kuat. Ramai ada di sekeliling yang menjaga kamu. Pemilik kamu, para doktor dan jururawat serta kiriman doa dari kami yang melingkarimu. Bukalah matamu dan menangislah!

p/s: saya telah meminta keizinan Kak Aina untuk bercerita mengenainya di entri ini.

Monday, March 5, 2012

1/2 Hari di Kuala Lumpur..

Hari ini saya ke Kuala Lumpur bagi menyelesaikan beberapa urusan. Memandu kereta dari Serting hingga ke Seremban, kemudian menaiki tren komuter dan turun di Masjid Jamek. Sepanjang perjalanan itu, tiada apa-apa yang berlaku. Cuma ini kali pertama saya menaiki gerabak comel yang ditampal pelekat merah jambu.
( sebenarnya dah lama tak naik pengangkutan awam~~)


Okey...selesai urusan, saya pergi ke Imbi pula. Saya rasakan saya ni umpama rusa masuk kampung pulak. Macam tak pernah duduk bandar je. Padahal belajar di Petaling Jaya dan Gombak. Sebabnya?

Terkulat-kulat di stesen monorel bertanya arah. Itu yang pertama.

Kedua: Sekarang sistem dah bertukar, guna mesin sentuh-sentuh tu untuk beli tiket dan saya sekali lagi tercengang-cengang di depan mesin tu. Mesin tu pandang saya, saya pandang dia sambil mata terkebil-kebil tak tahu nak sentuh paparan yang mana. Nasib baik ada seorang gadis yang baik hati menolong saya.
Maka, keluarlah dari perut mesin sebiji token biru. Okey, baru saya tahu, sekarang dah tak guna tiket yang dulu asyik tersangkut bila nak keluar, sekarang touch aja token itu di palang penghadang tu.



Punyalah lama tak jejak kaki di KL Sentral, saya tak tahu turun sahaja dari monorel, kena menapak jauh untuk ke KL Sentral. Dulu boleh nampak dari kejauhan KL Sentral tu dengan stesen monorel. Sekarang, nampak konkrit-konkrit besi berbanding kali terakhir saya pergi dahulu. Waduh...saya ikut orang depan sahaja.~~ Sebab ketiga

Apapun, perjalanan hari ini cukup menyedarkan saya betapa lamanya saya tidak menggunakan pengangkutan awam di Malaysia ini. Eh, lama ke? Rasanya baru beberapa bulan sahaja...~~

Friday, March 2, 2012

Cuti 30 hari

Mulai hari ini, saya bercuti. Bercuti dengan riang. Semestinya tanpa elaun mahupun gaji. Hahaha.

Cuti 30 hari. Sengaja minta dengan tuan punya firma guaman walaupun beliau hendak tak hendak je bagi.  ahaha.

Saya akan ke Miri menziarahi mak teh saya di sana.

Saya akan mengecat dinding dapur.

Saya akan menyelesaikan urusan "filing" untuk "long call".

Dan macam-macam lagi yang akan dilakukan. Semuanya dalam 30 hari ini.

Pelbagai rancangan sudah rencanakan. Saya harap semuanya akan mampu dilaksanakan dan diizinkan oleh Yang Esa.

Pastinya, saya pasti merindui rakan-rakan di pejabat dan "alat mainan" saya di sana. Tidak mengapa, 30 hari sahaja.

Buku "makanan" seharian saya
Pemandangan di atas meja saya. Hehehe
Saya banyak mencari quantum untuk kecederaan dalam sesuatu kemalangan. Maka, sebab itulah gambar rangka manusia dan kamus jururawat ini setia di meja.

Suka cuti.oh.oh.oh~~~

Wednesday, February 22, 2012

Yesterday, Today and Tomorrow

Semalam, saya sanggup menunggu hingga ke jam 12 tengah malam untuk mengetahui penghujung cerita yang ditayangkan di 8TV berjudul, Yesterday, Today and Tomorrow. Saya yang selalunya tidur awal terkulat-kulat menahan mata untuk mengetahui kisah ini. Nasib baik cerita ini menarik. Saya bukan ingin berkongsi mengenai jalan cerita tersebut tetapi di akhir cerita, ada sebuah kata-kat hikmah yang saya rasa cukup bermakna.

"Hidup perlu pandang ke belakang untuk diteladani apa yang telah berlaku, tetapi kita kena memandang ke hadapan kerana hidup akan diteruskan"... Lebih kurang lah....ayat tersebut dalam Bahasa Inggeris. Saya olah kembali. Hehehe...

Itu sahaja untuk dikongsikan kali ini...(^_^)

p/s: tiba-tiba terngiang-ngiang lagu Yesterday, entah penyanyi Korea mana yang nyanyi...~~~

Tuesday, January 24, 2012

PUTIK LADA

Mengambil tajuk entri "PUTIK LADA" yang diangkat dari satu kolum di majalah terbitan Lexis Nexis kelolaan Bar Council Malaysia, PRAXIS, saya menghadiri satu jamuan makan tengah hari yang diadakan di Restoran Warisan di Seri Menanti,Negeri Sembilan. Restoran ini betul-betul terletak di tepi sawah padi. Jamuan ini mengumpulkan wakil peguam-peguam muda dari Melaka, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dengan dihadiri oleh Presiden Majlis Peguam Negeri Sembilan, Puan Zainuritha Alfa dan Setiausaha Majlis Peguam, Mr Tony Woon.

saujana mata memandang


Saya belum lagi bergelar seorang peguam. Saya cumalah seorang pelatih dalam kamar atau singkatannya PDK. Tinggal sebulan lagi saya bakal menghabiskan tempoh latihan. Ada 4 orang PDK yang turut hadir dalam pertemuan ini. Sambil makan, diselang seli dengan sesi perbicangan dan pengenalan ringkas tentang jawatankuasa peguam muda.



Saya seperti biasa, mendengar dan mendengar. Tapi, saya paling suka sesi makan! Hehe. Dijamu dengan tom yam, udang bersalut tepung yang diletakkan di atas sohun goreng, sayur kailan ikan masin dan penghilang dahaga, sirap selasih dan air janda pulang, saya makan dengan malu-malu tetapi dalam segan, menghabiskan sepinggan sayur. =p

Usai jamuan, saya dan seorang rakan bergegas menunaikan Zuhur di surau yang disediakan. Agak menyedihkan, tandas tidak dijaga dengan sebaiknya. Kesedihan itu saya ubati dengan bergambar di tepi sawah walaupun terpaksa senyum di bawah terik pancaran matahari. ~~~